Ahad, 15 Mac 2009

PAMERAN TERBESAR FOTOGRAFI DIGITAL DI MID VALLEY


BAGI yang meminati fotografi digital dan juga ingin melihat semua peralatan itu dalam satu pameran yang besar kini tidak perlu tercari-cari lagi.

Buat julung-julung kalinya, Velocity Media dan Majalah Digital Camera akan menganjurkan pameran terbesar Pertunjukkan Kamera Digital, Imejan dan Media 2009 (DCIM 2009) di Dewan 2, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) dari 27 hingga 29 Mac ini.

Tidak seperti pameran jual beli fotografi biasa lain, DCIM 2009 merupakan satu pertunjukan unik yang bakal memberikan pengalaman baru kepada peminat fotografi digital. Ia boleh dikatakan sama dengan pameran fotografi Photokina World Imaging Fair di Cologne, Jerman dan PMA Imaging Convention and Trade Show 2009 di Las Vegas, Amerika Syarikat. Bagi mereka yang tidak tahu mengenai dua pameran fotografi terbesar itu, konsep DCIM 2009 sebenarnya ialah untuk membawa keseronokan dan pengalaman pada semua peminat fotografi digital.

Pada pertunjukkan DCIM Show 2009, semua jenama kamera digital terkemuka dunia akan diletakkan di bawah satu bumbung. Ia bertujuan memberi peluang kepada peminta melihat, merasai, mencuba semua peralatan fotografi sedia ada dan mungkin berpeluang untuk merasai model baru setiap jenama tersebut.

Selain itu, pelbagai bengkel fotografi termasuk seminar skil dan pengetahuan serta pelbagai aktiviti berkaitan akan turut diadakan.

Tidak hanya itu, hadiah-hadiah menarik akan turut diberikan selain diskaun harga peralatan fotografi dan juga gajet-gajet menarik.

Pada pertunjukkan itu juga, akan diadakan studio mini yang dilengkapi dengan prop dan juga pencahayaan untuk digunakan oleh pengunjung tanpa sebarang bayaran.
Lebih menarik, peminat fotografi jangan tinggalkan kamera di rumah disebabkan penganjur akan turut menganjurkan pencarian bakat baru gadis muka depan The Velocity Angel.
( Sumber dipetik dari Akhbar UTUSAN )

Tiada ulasan: