Jumaat, 23 Oktober 2009

Analisis PRK DUN N.31 Bagan Pinang

MENANG!!!...Tan Sri ISA diapit oleh TPM dan MBNS ketika meraihkan kemenangan BN.

Walaupun agak terlewat untuk saya mengulas dari sudut mata kasar apa yang berlaku semasa Pilihanraya Kecil (PRK) N.31 BAGAN PINANG namun ucapan tahniah harus diberikan kepada rakyat di kawasan mengundi di N.31 BAGAN PINANG kerana bijak membuat keputusan mengikut kehendak masing-masing yang akhirnya keputusan yang dibuat itu tidak memberi kekesalan kepada diri sendiri (si pengundi) terhadap calon atau parti yang dipangkah.

Tahniah juga kepada Calon Barisan Nasional (BN) - Tan Sri ISA SAMAD kerana berjaya memenangi kerusi N.31 BAGAN PINANG dengan majoriti yang agak tinggi. Kepada Pakatan Rakyat (PR/PAS) kalah dan menang adalah adat/lumrah dalam pentas politik.

Saya bukanlah seorang ahli politik mahupun penganalisis politik, namun atas dasar kebebasan menulis dalam blog serta adanya tapak untuk saya meluahkan segala catitan yang tertulis dalam dairi sepanjang saya berada di PORT DICKSON sebagai pemerhati PRK N.31 BAGAN PINANG maka segalanya saya catitkan untuk tetapan kita bersama. Pengalaman saya menyertai (pemerhati) beberapa Pilihanraya Umum ke-11/12 mahupun Pilihanraya Kecil (PRK) seperti P.44 PERMATANG PAUH, P.59 BUKIT GANTANG, N.12 PENANTI, N. 41 MANEK URAI dan N.11 PERMATANG PASIR, inilah kali pertamanya saya menyaksikan sebuah PRK yang dicemari dengan aksi ganas dan provokasi yang melampau. Tan Sri MUSA HASSAN -Ketua Polis Negara juga meluahkan kekesalan serta menyifatkan PRK Dun BAGAN PINANG merupakan PRK yang terburuk pernah diadakan disebabkan berlaku beberapa insiden/tindakan penyokong parti yang bersikap ganas sehinggakan mencederakan anggota keselamatan dan orang awam.


Pada awalnya sudah pun diramalkan bahawa BN akan memenangi PRK N.31 BAGAN PINANG namun ramalan tersebut bercampur-campur kerana trend pengundi zaman sekarang sudah berubah dan apa-apa kemungkinan juga boleh berlaku. Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS juga dari awalnya menyatakan PRK BAGAN PINANG akan dimenangi oleh BN dan agak sukar bagi parti itu untuk menawan BAGAN PINANG dari cengkaman BN.


Pemilihan Tan Sri ISA SAMAD sebagai calon BN pada mulanya memberi pelbagai reaksi dari lapisan masyarakat. Namun tidak kurang juga yang mengeluh dengan keputusan itu. Pengumuman nama Isa dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno/TPM - MUHYIDDIN YASSIN di Port Dickson dalam satu majlis khas sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 3,000 orang. Dalam pengumuman itu TPM memberi peluang kepada hadirin yang hadir untuk melaungkan nama calon yang mereka inginkan. Apa yang mengejutkan majoriti hadirin yang hadir melaungkan "kami mahu ISA!!! Kami mahu ISA!!!!!!!!!!! sehinggakan ada yang memboikot PRK tersebut sekiranya ISA SAMAD tidak dipilih sebagai calon BN di kawasan tersebut.

Pemilihan ISA SAMAD yang pernah digantung kerana penglibatan dalam rasuah politik itu adalah atas kehendak akar umbi UMNO bahagian TELOK KEMANG. UMNO bahagian berkenaan terus mahukan ISA SAMAD dan akan menolak sekiranya terdapat calon lain yang dicalonkan. Kelebihan ISA SAMAD ialah kawasan tersebut merupakan kampung halamannya serta mendapat sokongan akar umbi. Atas dasar inilah yang menyebabkan UMNO bahagian TELOK KEMANG terus mempertahankan ISA. Situasi ini telah menyebabkan UMNO serba salah dan tidak ada pilihan lain melainkan mencalonkan ISA walaupun ISA dihantui/dibayangi dengan isu rasuahnya yang sudah pasti akan dijadikan senjata oleh parti PAS untuk menentang beliau.

Dari sudut lain pencalonan Isa dilihat sebagai satu perjudian besar kepada UMNO. UMNO/BN seakan-akan memberi ruang kepada pembangkang untuk menjadikan masalah peribadi ISA sebagai modal kempen PAS. Namun semua isu yang dimainkan dalam kempen PAS tidak menjadi. Masyarakat di BAGAN PINANG juga seakan-akan tidak memperdulikan sebanyak manapun isu tersebut, apa yang pasti mereka mahukan ISA sebagai wakil rakyat mereka kerana sikap ISA yang mesra kepada masyarakat di kawasan tanpa mengira kaum dan agama.

Ketika saya mengikuti beberapa siri kempen yang dihadiri oleh ISA menyaksikan rata-rata masyarakat di kawasan tersebut sangat mesra dengan beliau. Bagaikan telah lama kenal. Mana tidak tempat tersebut merupakan kampung tempat lahirnya. Tidak kira melayu, cina atau India semuanya suka dengan beliau. Faktor inilah yang dilihat memberi kelebihan kepada ISA SAMAD.

Berbeza dengan Calon PAS - Zukefly Mohamad Omar. Calon tersebut dilihat mempertaruhkan nasib dan mengharapkan isu rasuah ISA serta isu keagamaan dapat meraihkan undi untuk memberi kemenangan kepada beliau. Kehadiran ANWAR IBRAHIM dan NIK AZIZ untuk membantu kempen juga gagal menarik minat pengundi di kawasan tersebut untuk memangkah bulan. Pergolakan dalaman dalam Pakatan Rakyat juga dilihat telah menjadi faktor lemahnya Pakatan Rakyat di BAGAN PINANG.

Daripada pemerhatian serta reaksi rakyat NEGERI SEMBILAN selepas kemenangan besar BN di PRK BAGAN PINANG memperlihatkan adanya semangat luar biasa daripada rakyat untuk terus mengundi BN pada PRU akan datang. Dijangka beberapa kerusi yang dimenangi oleh Pakatan rakyat sebelum ini berkemungkinan besar akan dirampas semula oleh BN pada PRU akan datang.

Tiada ulasan: